Dataran Merdeka Berselawat 2013

Dataran Merdeka Berselawat 2013

Selasa, 26 Julai 2011

Mendekati Ulama’ dan Para Wali Allah di Mesir

Mendekati Ulama’ dan Para Wali Allah di Mesir

Buku “Mendekati Ulama dan Para Wali Allah di Mesir” adalah buah tangan Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al-Linggi.
Kata pemilik kedai buku tempat saya membeli edisi 2004 buku ini (RM60) i.e. cetakan lama minggu sudah, naskhah yang saya beli itu adalah naskhah akhir di kedainya. Menurutnya, apabila ia melihat saya memegang buku itu, beliau berasa hairan kerana buku itu sudah lama dicarinya kerana sudah ada beberapa orang pernah bertanyakan buku itu.
“Di mana awak jumpa?”
Saya beritahu buku itu terletak elok sahaja, sedikit tersorok di satu sudut, sambil menuding ke arah para yang berkenaan. Mungkin kerana kulit luarnya yang gelap menyebabkan ia tidak mudah dijumpai.
“Saya pelik kerana dah banyak kali saya cari disitu tapi tak jumpa.”
“Nampaknya buku ini memang untuk sayalah,” balas saya berseloroh.
Sebenarnya saya sendiri tidak perasan kewujudan buku ini. Setelah 4-5 kali memusing dalam kedai buku itu dalam masa 2 jam setengah itu, saya sudah mahu beredar ke kaunter pembayaran bila hujung mata saya terlihat buku ini. Alhamdulillah, saya berteriak syukur di dalam hati kerana saya meminati buku-buku seperti ini.
Saya sendiri sudah pun ke Mesir pada tahun 2007 yang lalu. Dalam ziarah itu, saya ke Asyut, Kaherah dan Iskandariah. Asalnya menemankan isteri saya yang membentangkan kertas kerja penyelidikannya di Universiti Asyut. Kami ambil penerbangan murah Air Arabia dari Sharjah dan terus turun di Lapangan Terbang Asyut pada tengah malam buta, terus juga berhadapan dengan kerenah Arab Mesir yang sangat menjengkelkan. Saya bertekak sedikit dengan pemandu teksi yang cuba mencekik darah, dan kemudiannya bermasam muka dengan penganjur yang telah berjanji mahu menjemput kami di lapangan terbang tetapi kemudian tidak muncul-muncul. Saya amat marah dengan Profesor yang menjadi ketua penganjur itu kerana jikalau saya tidak ada menemani isteri, Tuhan sahaja yang tahu apa yang boleh terjadi. Kalau tidak boleh menunggu janganlah berjanji. Rupanya benar bahawa janji Arab Mesir lebih teruk dari janji Melayu!
Di Kaherah, sebahagian masa kami menjelajah kota besar itu sendiri-sendiri sahaja. Alhamdulillah, sedikit sebanyak pembacaan dan pengetahuan yang diterima melalui para asatizah dan kawan yang pernah di sana memberikan kami panduan tentang tempat apa dan siapa @ makam siapa yang terletak di sana. Kemudian kami bernasib baik kerana beberapa pelajar Indonesia yang dijumpai di Jame’ Hussayn memperkenalkan kami kepada pelajar-pelajar Malaysia yang menetap di Hayyu Ashir. Rupa-rupanya ada kenalan lama yang pernah belajar di Lampeter, UK dulu, juga waktu itu menyambung Masters di American University Cairo. Kami berjumpa pula di Hayyu Ashir itu.
Pelajar Indonesia (ustaz M) dan Malaysia (ustaz Nazri) kemudiannya volunteer menguruskan hal sewa kereta dan kemudian menyanggup pula untuk memandukan kami ke beberapa destinasi seperti Jabal Muqattam dan Fustat. Ustaz M beriya-iya mengajak kami melihat Piramid Giza, tetapi kerana ada beberapa makam yang kami mahu lawati dan berlama-lamaan di Muqattam itu (termasuk Makam Sidi Umar al-Farid yang puisinya sangat inspirational itu dan pusat ikhwan Khalwatiyyah) etc maka ajakannya itu tidak kesampaian kerana kesuntukan masa.
Di Iskandariah pula, kami tidak menginap di hotel sepertimana halnya ketika kami di Kaherah. Pelajar-pelajar Malaysia di Kaherah ada yang mengomel mengatakan kami patutnya hubungi mereka supaya mereka boleh siapkan tempat tidur selesa, makan minum dan urusan ziarah. Semuanya free kata mereka. Fuh, begitu sekali semangat pelajar kita di sana meraikan tetamu dhaif macam kami. Akhirnya, oleh kerana kami belum ada perancangan tentang di mana mahu menginap di Iskandariah, pelajar yang di Kaherah berutusan dengan sahabat di Iskandariah memberitahu tentang kedatangan kami.
Akhirnya kami menginap di rumah Ustaz K dan Ustazah M, dua-duanya asal Ipoh. Dan ya, makan minum serta tempat tidur kami disitu selama beberapa malam itu mereka berdua yang susah payah uruskan. Cuma kerana tidak mahu menyusahkan mereka, kami minta izin supaya mereka tidak perlu susah payah menemani ziarah kami di Iskandariah itu. Bandaraya Iskandariah itu tidaklah sebesar dan sesukar Kaherah dan kami percaya kami boleh manage dengan sendiri. Untuk tidak mengecilkan hati K dan M, kami setuju untuk bersiar-siar dengan mereka di Taman Bunga Muntazah pada satu waktu malamnya. Memang sangat cantik Taman Muntazah ini, dan rasanya kalau dapat sekali lagi ke Iskandariah, kunjungan ke Taman Muntazah ini tidak akan dilepaskan.
Andai kata dalam kunjungan itu kami ada membawa bersama buku tulisan Ustaz Lutfi ini, tentulah perjalanan itu lebih bermakna lagi, malah mungkin akan ada satu dua makam lagi yang boleh dilawati sepanjang perjalanan itu. Mungkin di edisi hadapan, Ustaz Lutfi boleh menambah sebuah peta yang menunjukkan letak duduk makam-makam yang disebutnya dalam buku itu, ataupun menyediakan secara ringkas petunjuk yang praktis (practical guide) macam mana hendak menemui makam-makam itu. Benar, ketika kami di sana, kami tidak membawa guide book atau petapun, hanya bertanyakan kepada orang tempatan. Kebanyakan makam-makam yang utama itu sangat dikenali ramai, orang ramai juga tidak lokek berkongsi arah dan maklumat tambahan, malah ada makam itu yang sign-posted. Namun jika ada penambahan-penambahan seperti ini, nescaya akan lebih mudahlah perjalanan orang-orang seperti kami…insya Allah. (Daripada http://anakalam.blogsome.com/).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan